Sunday, January 31, 2010

alhamdulillah..

akhirnya..

ungkapan kata, luahan rasa,
melayari hari-hari bahagia,
menyulam cinta,paduan jiwa,
serasi hati terpatri bersama.

hari ditunggu gundah gulana,
resepsi majlis gilang gemilang,
merai tetamu sanak saudara,
sesi merenjis selang berselang..

bunga manggar di tepi penjuru,
dibawa berarak bersama raja,
tangan genggam diapit malu,
rasa tersentak gelora gembira.

bersambung..

Saturday, January 30, 2010

Friday, January 29, 2010

Wednesday, January 13, 2010

Chinta mendebar jiwa..

Salam..

Kalung suasa dipakai anggun,
Baldu nipis sulam bertangkai,
Menghitung masa bagai bertahun,
Menunggu majlis sebulan tak sampai.

Bunga dipetik dulang terisi,
Sadur gubahan sirih junjung,
Masa berdetik menjelang resepsi,
Tidur, makan, mandi tak lalu.

Hari dinanti semakin dekat,
Jeling pelamin kami sendiri,
Naluri hati semakin mengerat,
Lengkap lengkapi suami isteri.

bersambung..

Kenangan mengusik jiwa..

Salam..

P

Sungguh jauh beratus batu,
Kanda ditinggal berminggu-minggu,
Sampai bila harus kanda tunggu,
Sebelum kita dapat bertemu.

L

Walau ditinggal berminggu-minggu,
Terpisah jauh sempadan jambatan,
Biarpun rindu ingin bertemu,
Kanda sentiasa dalam ingatan.

Petua senyum rahsia memikat,
Teruna dan dara sama jelingnya,
Sesudah akad sudah diikat,
Sudikah kanda setia selamanya?

P

Sudah lama kanda terpikat,
Melihat adinda Si gadis sunti,
Selagi akad belum diikat,
Kandakan tetap setia menanti.

Kehadiran adinda lama ditunggu,
Untuk mengubat luka yang lama,
Kesetiaan kanda jangan diragu,
Ke akhir hayat janji bersama.

L

Gurau rindu bertangkai cinta,
Serapnya kasih semai bahagia,
Kalau begitu bagai dikata,
Harapnya sempurna mahligai dibina.

Syukran, pelangiku..

bersambung..

Tuesday, January 5, 2010

rindu bersimpul chinta..

salam..

Bajai jiwa sirami kasih,
Kelam menyapa Adam dan Hawa,
Apa diharap bila berkasih,
menyulam cinta bersama kanda.

Megah meraih cinta kekanda,
Resah daku siapa yang tahu,
Dalam jiwa bahagia merona,
Tatkala menuju ke gerbang baharu.

Gurau senda pengikat cinta,
Pengubat jiwa dikala rindu,
Paduan cinta bahagia dirasa,
Buat kekanda, semanis madu.

bersambung..

Thursday, December 31, 2009

rindu datang bertamu..

salam..

Renjis dipilis bertukar ganti,
Teruna dara senyum bahagia,
Cincin dipilih kemas di jari,
Tanda adinda sudah berpunya.

Merdu suara si mergas tua,
Kunang-kunang hinggap di jati,
Rindu terasa menggamit jiwa,
Terkenang kekanda jauh di hati.

Berdebar menanti majlis resepsi,
Sudah tersedia hantaran hati,
Persiapan diatur wali dan saksi,
Ijab dan qabul bakal tersaksi.

bersambung..